Cerpen Lepas 1


MONOLOG MERDEKA SEORANG SAYYIDAH

 “Bangsa yang menjajah adalah bangsa yang kuat. Lihat sahaja bagaimana Portugis mampu menjajah selama hampir 135  tahun di Tanah Melayu bermula dari 1511 hingga 1646” tutur Prof Edward Doughlas dalam kuliah sejarah dan peradaban. Nadanya berbaur rasa bangga. Mungkin darahnya, darah waris penjajah. Aku hanya mendengar secara saksama sambil menganalisis isi-isi syarahan Prof. Edward Doughlas.

“Negara-negara penjajah ini biasanya menjadi negara maju kini, lihat contoh seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Belanda”

“Kekuatan ini terletak pada integriti keilmuan yang diamalkan mereka. ingatkah kamu pada kebangkitan mereka semasa zaman kegelapan? Kemudian Zaman Renaissance menjelma lantas memaknakan kehidupan mereka hingga ke hari ini” Prof Edward menyambung lagi

Aku menompang dagu. Ya, sedikit bersetuju dengan professor, namun aku kurang bersetuju dengan kenyataannya bahawa bangsa yang menjajah adalah bangsa yang kuat. Dudukku tidak tentu. Aku mencari posisi paling selesa. Mindaku ligat menganalisis fakta. Bagiku kekuatan bukan perlu dipusatkan kepada pengaruh bala tentera, namun lebih dari itu.

“Prof, bagaimana pula dengan Bangsa yang mempunyai spiritual yang kuat, adakah kita perlu menafikan kekuatan mereka. Bangsa penjajah punya kekuatan dari segi ilmu, namun, agak ketinggalan dari segi spiritual?” aku menyoal professor. Ku susun tuturku agar soalanku menjadi seumum mungkin. Aku mahukan jawapan dari insan yang mewarisi darah penjajah yang mungkin pernah menjadi penjajah Tanah Melayu.
“terima kasih Sayyidah” Prof Edward berhenti sejenak. Kemudian mengatur langkah ke tempat duduk berhadapan sidang pelajarnya.
“ya, percaya atau tidak, Prophet Muhammad merupakan seorang pemimpin paling berjaya pada kurun in, 1400 tahun yang lampau..”

Aku tersenyum. Selawat dan salam ku titipkan buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Akhirnya dengan rasa rendah diri, Prof. Edward Doughlas mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW  adalah Rasul terakhir. Bahawa kerasulan Nabi Muhammad tidak diterima oleh golongan ahli kitab yang tidak dapat menerima susur galur Rasul terakhir bukan dari kalangan bani Israel.

Aku menemukan sesuatu yang menarik semasa berada dalam kuliah Prof. Edward Doughlas. Mungkin sesuatu yang amat berguna buat bangsaku di Malaysia kelak. Tanganku mencapai beg galas warna coklat gelap yang tergantung dibelakang pintu. Seraya melabuhkan punggungku ke atas katil yang nyaman bercadar nipis warna kuning air. Lantas aku mengeluarkan sebuah buku catatan milikku yang berwarna hijau pucuk pisang yang berhias bunga tabur warna putih dan merah jambu. Ia adalah pemberian dari ibu. Ah, tiba-tiba sahaja perasaan rindu pada seluruh ahli keluarga mengasak sanubari. Lama sudah tidak mendengar khabar mereka.

                Aku menghela nafas. Perlahan-lahan aku bangkit menuju meja tulisku. Halaman buku catatan ini kubuka. Lalu menukilkan sesuatu. Bahawa ilham ini adalah anugerah Ilahi yang sangat memaknakan hidupku…
 Imbas kembali…

“Sayyidah!!!” aku tersentak. Perasaanku terbebar. Aku menjadi takut. Jasadku terkesima, menunggu butir seterusnya.

“Sayyidah cacat, Sayyidah cacat” ketawa nakal terburai di belakangku. Aku memang sudah mengagak butir sindiran yang memusnahkan atmaku itu. Justeru ku buang pandangku ke lantai. Aku mengatur langkah. Terhincut-hincut. Memang aku cacat, aku cacat fizikal. Tapi aku tidak cacat akal, aku tidak miskin jiwa seperti kalian! Mataku berkaca-kaca. Aku cuba menahan air mataku. sungguh, aku tak mampu. Tuhan, berikan aku kekuatan!

Kata ibu, meskipun aku dilahirkan dengan kaki yang tempang, namun aku punya raut wajah yang manis dan punya jiwa yang tabah. Aku tersenyum, tatkala memandang cermin di hadapanku. Terima kasih ibu. Ibu lah semangatku untuk berada dalam sekolah yang dipenuhi orang-orang yang iri dengan kecacatanku. Aku dimusuhi laksana aku seorang pencuri. Aku tidak tahu apa puncanya. Hinakah menjadi seorang cacat seperti diriku? Sesungguhnya di mana-mana sahaja aku melihat diskriminasi terhadap orang kurang upaya sepertiku. Kadang-kadang disisihkan seolah-olah gelandangan tidak berguna. Golongan seperti kami ini takut untuk didekati laksana kami haiwan yang menjijikkan layaknya. Aku beristighfar. Merdekakah kita sebenarnya?

Sungguhpun begitu, semangat mengalah tidak ada dalam kamus hidupku. Walaupun ada ketikanya aku hampir sahaja mengaku mengalah dengan tekanan yang mengasak dada. Aku anak Melayu yang merdeka, punya minda yang merdeka, punya hati yang merdeka. Aku tidak perlu takut untuk berhadapan dengan hinaan. Sebaliknya aku perlu takut untuk menjadi manusia paling tidak berguna! Perlahan-lahan semangat yang berkecai tadi, ku kumpul kembali menjadi motivasi terhebat buat jiwaku yang miskin disisi Allah.

Kadangkala aku keanehan apabila mendapati bahawa bangsaku yang penuh rasa toleransi dan kaya dengan adab sopan ini terkadang bersikap biadap. Walhal kita semua diberi pendidikan sempurna berbanding zaman sebelum merdeka. Apakah kita mewarisi keangkuhan penjajah? Atau mengingkari sunnah Rasulullah SAW yang menganjurkan berbuat baik sesama manusia? Ah, inilah yang menjadi kekecewaan mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Bahkan sehingga usia persaraan beliau, anjakan paradigma dari mentaliti kelas ketiga ke kelas pertama masih belum dicapai. Entah dimana silapnya.

NAMUN itu cerita dahulu. Bahawa aku selalu mengingatkan diriku, kasihilah yang ada dibumi ini, nescaya kalian akan dikasihi penghuni langit. Ya, pada awalnya aku di hina dan dipandang remeh atas kekurangan fizikalku. Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang. Aku percaya kepada keadilan Allah. Syukur ku panjatkan pada Ilahi, kerana masih memberikan kesempatan untukku menghirup udara abad ke-21 ini. Aku merenung luar jendela Bandar Bristol, yang merupakan Bandar terbesar England dan istimewa kerana dibina ditengah-tengah River Avon. Bunga-bunga tulip yang ditanam di dalam pasu kecil benar-benar menyegarkan mata yang memandang. Bukti keagungan ciptaan Allah swt. SubhanAllah. Maha Suci Allah swt.

Aku membayangkan kehidupan yang digambarkan Faizal Tehrani dalam karya historical beliau. 1511. sememangnya aku mengagumi insan yang menghargai sejarah. Mungkin kita perlu melupakan hal-hal yang menyedihkan di masa lampau, namun kita perlu memandang ke zaman lalu, supaya tidak melakukan kesilapan yang sama. Sesungguhnya orang mukmin tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama untuk kali kedua. Mafhum hadis itu aku bisikkan perlahan-lahan kedalam sukmaku.

Dengan tekad yang mendalam disertai rasa cinta terhadap tanah air tercinta, maka aku pun memulakan langkah ke sini, ke benua Eropah yang pernah menjajah Tanah Melayu. Hujan emas di negeri orang, hujan batu dinegeri sendiri, lebih baik dinegeri sendiri”. Betapa sesungguhnya aku menghargai kemerdekaan yang aku nikmati selama hidupku.
 Barangkali agak janggal, jika aku mendaftar kursus kemanusiaan di Universiti of West England. Kerana rata-rata pelajar Malaysia yang punya tujuan sama denganku adalah pelajar jurusan akaun, perubatan dan sebagainya. Ah, aku tidak mempedulikan semua itu. Kerana aku percaya bahawa ilmu Allah itu luas. Ilmu milikNYA berada di mana-mana dan  ilmu dipinjamkan kepada manusia hanya dengan keizinan Allah swt. Justeru, aku ingin sekali mengutip pengalaman berharga, dan ilmu sepanjang keberadaanku disini, atau dimana-mana sahaja supaya aku bisa pulang berkongsi wadah perjuangan ilmuku walaupun sedikit.

Imbas Kembali…
Bandaraya Shah Alam, 
September 2004

Aku lebarkan langkah menuju perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Mencari bahan ilmiah untukku menulis. Pijar panahan mentari tengahari ini membahang atas kepala. Bunyi motokar yang melagukan Bandar raya Shah Alam ini tidak sedikit pun menghambat bernas minda yang mulai muncul dalam benakku. Yang aku mahu cuma segera sampai dalam bangunan yang berhawa dingin penuh koleksi buku-buku umum itu. Aku terhincut-hincut kerana kelajuan pergerakanku terbatas. Namun ku gagahi jua langkah. Termengah-mengah. kadang-kadang ada mata-mata manusia yang aneh melihat keberadaanku disini. Aku kegelian. Namun tawaku hanya menggumam dalam hati. Apa, aku ini persis makhluk asingkah? Ku leretkan senyuman buat mereka yang menyoroti keanehan langkah kakiku. Tidak senormal mereka. Hanya sedikit yang memandang simpati, ada yang memandang sinis, bahkan ada yang tidak mempedulikan keberadaanku. Ah, biarkan sahaja mereka.
“Sayyidah!!!” laung satu suara. Langsung memecah situasi yang memugar perasaanku sebentar tadi. Aku menoleh ke belakang . Suara itu milik Hayati. Gadis manis itu melambai ke arahku dengan senyuman. Aku turut membalasnya .
“yati pun mahu ke perpustakaan?”
Hayati mengangguk. Gadis ini rakan baikku di sekolah. Selalu menemaniku. Namun hari ini kebetulan kami terserempak untuk tujuan yang sama.
“Sayyidah nak cari bahan untuk pertandingan cerpen anjuran Utusan itu ke?”
Hayati menebakku. Aku ukir senyuman untuknya
“agak-agak yati kenapa saya ke perpustakaan?”
“ada temujanji dengan…?”
Ketawa kami terburai. Kami menyusun langkah seiringan ke tempat yang dituju.

“Tahniah Sayyidah” ucap Hafiz yang berdiri tidak jauh dariku dan Hayati.
“terima kasih Hafiz”
Aku gembira atas ucapan tahniah tersebut. Ya, memenangi tempat pertama dalam kategori cerpen anjuran Utusan. Untuk diterima kita perlu jadi luar biasa dari orang lain. Itulah resam manusia.
“Aku kagum dengan semangat kau”
“walaupun aku tempang? “ tidak tahu kenapa, aku menebak Hafiz.
“bukan begitu..” Hafiz diserang rasa serba salah. Jarang Hafiz bercakap denganku. Dia lebih senang untuk berdiam diri. Hayati yang mendengar perbualan kami sedari awal lagi mengangkat pandang.
“kami kagum dengan semangatmu untuk tanah air” celah Hayati. Aku memandang rakan baikku ini dengan pandangan yang dalam
“kerana aku sebahagian dari Malaysia” ringkas sahaja jawapanku.
“ya, kami juga. Tapi kami tidak punya aspirasi kemerdekaan sepertimana diri seorang Sayyidah” Hafiz menyambung kata-kata Hayati.
“aku kira, negara bangsa yang berjaya adalah negara bangsa yang benar-benar menghargai tanah airnya sendiri”

“Sayyidah, engkau yang tempang ini, bolehkah menyumbang untuk negara?” alunan ketawa yang membuak tiba-tiba mencelah perbualan. Hatiku bagai dihiris saat mendengar soalan tersebut. Hayati dan Hafiz lantas memandang Zuraidah. Ah, Zuraidah selalu sahaja mengenakanku. Nakal dan kadang kala tidak menghormati perasaanku. Air mataku ingin tumpah. Aku menelan liur. Sakit dan perit. Kolam mataku berair. Namun ku tahankan juga dari menangisi perbuatan Zuraidah.

“Zu, seharusnya engkau bertanya begini, bolehkah orang yang sempurna seperti engkau menyumbang untuk negara? Kalau budi dan akhlak terbejat dengan gejala tidak bermoral, engkau tidak ubah seperti “anai-anai dalam kapal. ”
Hayati cuba melindungi perasaanku. Aku elus lengan Hayati. Memintanya untuk bertenang.
“Hei, Yati, jangan kerana mulut badan binasa!”
“Zu, tidak ada yang salah dalam percakapan Yati. Engkau yang mulakan dulu. Nah, kami pulangkan paku buah keras pada engkau, siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya” Hafiz mencelah. Menyokong aku dan Hayati.
Wajah bengis Zuraidah berona merah. Mungkin menahan marah.
“engkau orang semua, bodoh!!!” kami tidak terkejut dengan ekspresi kata-katanya. Memang itulah zikir perkataan yang melantun dari bibir Zuraidah setiap hari.

Sejurus ia duduk, dia menghamburkan kemarahan dengan kata-kata kesat. Gegendang telingaku perit mendengar kata-kata kesat. Apa, tidak ada bahasa lain kah yang lebih sopan? aku geleng kepala melihat telatah Zuraidah. Aku jadi teringat akan kata-kata Saidina Abu Bakar jadilah seperti pohon yang berbuah lebat di tepi jalan, meskipun dilempar orang dengan batu, namun tetap di balas dengan buah.
“aku minta maaf Zu”
Zuraidah buat tidak tahu. Aku menangis dalam hati!

………………………………………………………………………………………………

Matahari cerah cemerlang di angkasara. Panasnya benar-benar memijarkan ubun-ubunku, sekalipun aku berjilbab dengan sempurna. Kali ini panasnya lain benar. Bumi malaysia yang beriklim tropika ini nampaknya sedang mengalami pemanasan global seiring dengan pencapaian fizikal dan infrastruktur. Ah, inilah Sayyidah yang cuai, selalu sahaja lupa membawa payung. Gumamku sendirian. Aku aturkan langkah ke bawah lintasan jejantas yang menghubungkan dengan lebuh raya Kesas ke Kuala Lumpur.
Aku melunjurkan kaki yang lenguh kerana banyak bekerja. Kaki ini anugerah Allah yang wajib kita syukuri kata ibu. Aku mengurut-ngurut peha dan betis yang tempang.
”prang!!”
Seraya aku menoleh ke arah tin kosong yang ditendang ke arahku.
”Hei budak cacat!”jerkah suara itu
Diam... Aku mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan manusia dihadapanku ini. Manusia yang tidak ada kewajaran dan kewarasan ku kira.
”Ya, Zuraidah?” balasku cuba berlagak tenang dalam emosi yang parah!
”Heh, kau malukan aku depan Hafiz kelmarin”
”Aku tak rasa kau di malukan bahkan aku yang kau malukan” tuturku penuh hati-hati berbaur tegas dalam nadaku.
Zuraidah ketawa menyeringai. Bebola mata hitamnya tepat menumpu ke dasar wajahku. Orang yang sedang marah ibarat api. Api tidak boleh dipadam dengan api, tetapi dengan kesejukan air.
”Maaf Zuraidah, kalau engkau mahu bercakap perkara penting denganku, silakan disini. Jika tidak ada, aku minta diri dulu”
Aku bingkas bangun.
bukk!!!
Ah! Tubuhku terasa melayang. Aku jatuh tersembam dek kerana kesengajaan Zuraidah. Sengaja menjulurkan kakinya dihadapan, agar aku menyembah bumi. Ketawanya sinis sekali. Aku jadi benci kepada makhluk Tuhan yang satu ini. Astaghfirullah!
”Zu, apa salah aku Zu?? Sampai hati engkau?” tersenggut-senggut aku menangis, menyusun butir bicara. Aku kasihankan diriku yang dipandang hina. Apa salahku? Apa dosaku pada Zuraidah sehingga dia sama sekali benci padaku? Pakaianku bertompok warna tanah yang coklat kehitaman. Berdebu. Aku cuba untuk bangun. Namun kudratku yang terhad ini menyukarkan aku untuk berdiri. Air mataku menitis dengan laju lantaran kebencian dan dendam yang memusnahkan mahmudah dalam diri Zuraidah.
”Zu! Apa yang kau buat??”
Suara itu..aku lihat Zuraidah tergamam, seraya memalingkan mukanya. Tubuh langsing dan tinggi lampai itu bergerak laju meninggalkan aku. Aku yang berusaha seluruh tenaga untuk bangkit dan berdiri. Air mata yang tumpah sejak tadi aku seka dengan hujung lengan baju. Ah! Malunya aku, Allah sahaja yang tahu!
”Sayyidah tak apa-apa?” soalnya berbaur cemas dan penasaran. Pandanganku jatuh ke lantai. Tak kuasa mengangkat pandang. Rona wajahku menjadi merah menahan malu. Aku kenal dengan lelaki ini.
”tak..err..saya tak apa-apa Hafiz, terima kasih”
”biar saya hantar awak pulang” aku terkaku tatkala mendengar pelawaan lelaki di hadapanku ini. Rasa malu, terharu dan hormat tiba-tiba menjadi satu. Kaki ku melangkah berat, tidak mahu berjalan seiringan. air mata menitis satu persatu. Hafiz memandangku dengan senyuman. Ku angkat pandang dengan mata nan merah.
”Sayyidah, semangat merupakan pencetus dan kadangkala menjadi sindiran. Sindiran bagi mereka yang lemah dan tidak tahu menghargai kehidupan mereka.” Hafiz, menghela nafas. Tangannya dimasukkan ke dalam saku seluar.
”lalu, bersemangatlah menahan cabaran, buktikan pada Zuraidah, bahawa anda tidak selemah yang disangka” sambungnya lagi.


Bristol...
Oktober 2005

Ahh.., kenangan lalu..aku dan Hafiz hanya berhubung melalui emel. Hafiz khabarnya akan melanjutkan ijazah sarjana kejuruteraannya ke Liverpool. Entah apa beritanya orang dari Malaysia. Rindu pada Hayati tiba-tiba menerpa sukma. Aku tersenyum. Baru semalam Hayati mengirim SMS memberitahuku bahawa dirinya akan bertunang dengan jejaka pilihan hati. Bertuah engkau Hayati, diri yang sempurna bakal menjadi milik orang. Tahniah buatmu. Aku juga turut tumpang gembira. Ah Sayyidah, bukankah engkau juga wajib bersyukur dengan pemberian Allah?

 Sungguh kecacatan ini membuat aku lebih tabah. Apatah lagi kaki kanan ku yang tempang ini berpijak di bumi orang. Membuatkan aku lebih menghargai bumi sendiri. Bristol menerimaku sebagai orang asing. Keberadaanku di sini sangat asing. Yang aku kagumi tentang budaya orang-orang Eropah adalah hak-hak orang kurang upaya dititik beratkan. Walaupun melayan orang asing sepertiku. Syukur ke hadrat Allah yang memudahkan urusanku disini. Namun sayang sekali, majoriti mereka adalah kafir bukan orang-orang yang beriman. Hanya 2% populasi penduduknya Islam. Padaku, Islam juga agama yang merdeka. Islam memerdekakan pemikiran konservatif untuk penganut atheisme dan juga polytheisme. Yang menyangka Tuhan itu banyak dan ada yang menyangka Tuhan itu tidak ada. Teori big bang tentang kejadian alam itulah yang lahir dari anutan purba yang menyangka Tuhan itu tidak wujud. Manusia wujud kerana caturan alam. Lantas, kalau alam ini ada caturannya, maka siapakah yang mengaturnya? Tentulah Allah Subhanahu Wataala. Jawabku dengan keyakinan jiwa yang tiada berbelah baginya.

Pernah sekali, jiranku, Mrs. Cameron menanyakan hal bertudung kepadaku.
”kenapa muslim harus mengenakan tudung?”
Aku leretkan senyuman untuk perempuan separuh abad itu.
”kerana kita diberi pilihan Mrs Cameron.”
”pilihan? Yang bagaimana?” mata birunya dihalakan ke wajahku. Wanita itu menagih jawapan yang bijak dariku. Dengan dihiasi sebaris senyuman yang lembut, aku menjawab dengan rasa rendah diri kepada Allah.
”begini Mrs Cameron, hidup ini adalah pilihan. Tuhan telah memberikan kita dua hal yang harus kita pilih. Yang baik atau buruk. Yang bagus atau tidak bagus, yang pahala atau dosa. Malah Tuhan juga menyediakan syurga dan neraka. Anda tentu tahu itu”
”Ya, semestinya”
”Justeru, apabila agama Islam memerintahkan untuk mengenakan tudung pada penganut wanitanya, maka kami tidak banyak bertanya, bahkan terus melaksanakan perintah dengan petunjuk dan bimbingan daripadaNYA. Bahawa, kami yakin tentu ada kebaikan di sebalik semua itu”
“This is fantastic, i’m pleased to listen more from you”
“saya berikan analogi, Mrs Cameron mahu jadi pilot, lalu ada syarat-syarat khas. Contohnya, kita perlu tinggi begini, tidak boleh rabun dan sebagainya. Jika Mrs Cameron tidak memenuhi syarat-syarat khas tersebut, maka Mrs Cameron tak layak untuk menjadi pilot. ya kan?”
Mrs. Cameron mengerutkan dahinya. Mungkin sedang mencerap analogi yang aku berikan dan menyimpulkan dengan isi perbincangan kami.
“semuanya kerana kekuatan kepercayaan. saya memilih untuk syurga, menjadi baik, maka saya perlu pilih aturan yang telah dituliskan untuk saya.”
Mrs Cameron tertawa mendengarkan jawapanku. Seterusnya dia mengangguk-angguk tanda setuju. Wanita itu jiranku di apartment Llodger Trow,. Mrs. Cameron yang baik. Aku sukakan keramahannya dan sifat terbukanya. Mereka sekeluarga memberikan layanan yang baik kepadaku dan isi rumah yang lainnya.

Malam yang dingin menyelimuti Bandar Bristol. Dengan suhu 14C˚, sejuknya masih terasa meskipun aku sudah betah dengan dinginnya Bristol. Musim bunga yang rontok menggugah jiwa ku yang tenang ini. Aku rindukan Malaysia! Rindukan segala-galanya tentang Malaysia. Terutama keluargaku. Ibu.. Namun ada sesuatu yang menjadikan aku rasa kehilangan. Entah..aku mahu menelefon ibu selepas ini..Nafasku hela. Perlahan-lahan aku hirup udara musim semi yang nyaman. Namun hatiku ini tidak selalunya girang. Aku menatap langit Bristol di ruang jendela. Sejuk aku rasakan. Aku jadi teringat pada Hayati, Hayati yang manis dan cantik. Gadis yang baik hati itu sesungguhnya sahabatku yang paling dipercayai.

”Yati, apa erti sahabat padamu?” tanyaku padanya suatu hari di hadapan Tasik Shah Alam berlatarkan Masjid Negeri berkubah biru, antara kubah terbesar di Asia Tenggara ini. ”Khaleel Gibran, mantan pemimpin Pakistan pernah berkata begini; ”sahabat ialah mereka yang sanggup menerimamu seadanya.Aku mengangguk tanda setuju.
”Benar Hayati..sahabatlah manusia yang setia.”
Lalu, bagaimana pula dengan Zuraidah? Aku tidak pernah tahu berita darinya lagi selepas keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia diumumkan. Yang aku tahu, Zuraidah tidak berpeluang mengambil keputusannya sendiri. Ya, krisis sosial yang dihadapinya itulah yang membuatkannya terperangkap dalam masalah dadah. Lantaran itu, Zuraidah dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak. Mungkin sahaja kebencian dan sakit hati itu, menambah benteng egoku untuk tidak bertanya apa-apa tentang Zuraidah. Aku senyum mengenang sikap sendiri. Aduhai diriku, jadilah seperti cahaya yang menerangi tanpa pilih kasih. Kata-kata Dr. Agus sungguh membuat aku berasa sinis dengan sikapku. Mataku terus dihala ke dada langit yang dihiasi bintang-bintang bergemerlapan. Nasib sebuah negara bergantung kepada akhlak pemimpinnya. Butir bicara Prof Edward Doughlas tiba-tiba menerpa minda.

                Tiba-tiba telefonku berbunyi. Segera aku mencapainya. Pak Su ? ada apa agaknya?
”assalamualaikum Sayyidah, sihat?”
”sihat alhamdulillah, Pak Su apa khabar?”
”baik..err..Sayyidah..”
"ya, paksu, ada apa-apa yang Pak Su mahu sampaikan?” aku bertanya. Hatiku berdebar sebenarnya. Baru sahaja aku ingin menelefon ibu. Ayat Pak Su yang paling terakhir itu terus sahaja membunuh semangatku. Gagang telefon terlepas, seperti sahaja air mataku yang menurun laju. Murni dan Rafidah bergegas meluru ke arahku. Fikiranku, senyumku di kekisi jendela hitam tadi sekelip mata hilang dalam kesedihan yang nyata.
”Sayyidah?”
”kenapa Sayyidah?”
Sahabat-sahabatku yang baik mengusap bahuku. Aku tidak kuasa menahan sedih ini. Aku tidak kuasa menahan sebak di dada. Air mataku menderas laju. aku memeluk Murni dengan iringan tangis dan sendu. Bahuku ikut terhinggut.
”ibu..”
”ibu Sayyidah kenapa?”
”ibu dah pergi menghadap Ilahi” antara dengar dan tidak, aku memberitahu kalian semua.
”Innalillahiwainnailaihi raji’un”

Hanya setengah tahun sahaja lagi, aku akan menamatkan pengajian, bakal graduan dari University West of England. Mengapa masa tidak menunggu aku pulang dan mendakap ibu?  Namun Allah tak pernah menyalahi janjiNYA, bahawa setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Tidak akan lewat sesaat tidak akan cepat sesaat. Hayati dan Hafiz tak pernah putus memberi semangat. Bagaimana sahaja aku bisa berdiri untuk memaknakan diri jika ibu, pendorongku pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya? Maka murni dan Rafidah tetap bersamaku sama-sama berjuang, sama-sama memberi semangat. Jangan meratapi, itulah kemerdekaan dari sifat jahiliah yang dibawa Rasulullah Sallallahualaihi Wasallam.

Hari ini, di saat Malaysia merdeka dari dijajah, aku bungkam mengenang ibu di tengah-tengah jambatan River Avon. Aku hiba mengenang betapa sayangnya aku pada ibu. Namun betapa sayang lagi Allah kepadanya. Melihat airnya yang tenang, teringat akan tenangnya wajah ibu. Akhirnya, aku menyusur langkah sepanjang pesisir muara River Severn yang mengalir ke terusan Bristol. Air mataku menitis..
”Sayyidah!”
Aku terhenti sejenak. Bukankah itu? Hafiz?? Aku berpaling. Melihat susuknya berlari dengan laju meluru ke arahku.

”Tuhan tak pernah meninggalkan kita..” dia melafazkan ayat itu dengan cungapan. Air mataku menitis laju. Aku diam seribu bahasa..dengan tanda tanya, mengapa hari ini Hafiz muncul?
”takziah atas pemergian ibu”
Aku hanya mengangguk lemah. Air mata diseka dengan hujung baju panas. Aku senyum.
”doakan ibu, dan doakan kekuatanku.”
”kerana itu, aku datang..”
”bukankah kemasukan ke Liverpool University sebulan lagi?”
”ya..aku datang kerana ini..” dia menyuakan kotak kecil berbaldu merah. Hafiz membukanya perlahan. Aku semakin tidak mengerti. Lalu Hafiz menyambung lagi kerana melihat aku penasaran.
”Ibumu tahu tentang hasratku sebelum Allah menjemputnya. Yang mana setelah melihatmu dalam doa istikharahku, aku merdekakan fikiran untuk memilihmu, agar aku tidak memilihmu kerana rupa & nafsu, bahkan kerana melihat hatimu. Izinkan aku menikahimu” wajahku merona merah. River Severn saksi peristiwa keramat ini.  Tidak berdaya menahan empangan air mata yang memberat di tubir mata. Saat Allah mengambil sesuatu dariku, DIA telah menyediakan sesuatu yang terbaik untuk hidupku.. Syukran Ya Allah..

Tamat..




No comments:

Post a Comment