Nasihat Lukman Al-Hakim Kepada Anaknya
1 – Wahai anakku, elakkan dirimu dari berhutang, kerana
sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di waktu siang dan
gelisah di waktu malam.
2 – Wahai anakku, sekiranya ibubapa mu marah kepadamu kerana
kesilapan yang telah kamu lakukan, maka kemarahan ibubapamu adalah seperti baja
untuk menyuburkan tanam tanaman.
3 – Wahai anakku, jika kamu mahu mencari kawan sejati, maka
ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura pura membuatkan dia marah padamu.
Sekiranya dalam kemarahan itu dia masih mahu menasihati dan menginsafkan kamu,
maka bolehlah kamu mengambil dia sebagai kawan. Jika berlaku sebaliknya maka
berwaspadalah kamu terhadapnya.
4 – Wahai anakku, bila kamu mempunyai teman karib, maka
jadikanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu
daripadanya. Sebaliknya biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
5 – Wahai anakku, jagalah dirimu supaya tidak terlalu
condong kepada dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana kamu
diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang
lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunia.
6 – Wahai anakku, janganlah kamu ketawa jika tiada sesuatu
yang menggelikan, janganlah kamu berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah
kamu bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan harta
mu pada jalan maksiat.
7 – Wahai anakku, sesiapa yang bersifat penyayang tentu akan
disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada mengeluarkan perkataan
yang sia-sia, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor
tentu dia akan menyesal kelak.
8 – Wahai anakku, bergaullah dengan orang yang soleh dan
berilmu. Bukalah pintu hati mu dan dengarkanlah segala nasihat dan tunjuk ajar
darinya. Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah yang
bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu disirami
hujan.
9 – Wahai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan sebuah
kapal yang belayar di lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya.
Jika engkau ingin selamat, maka belayarlah dengan kapal yang bernama ‘taqwa’,
isinya ialah ‘iman‘ dan layarnya adalah ‘tawakkal kepada Allah’.
10 – Wahai anakku, jika kamu mempunyai dua undangan majlis,
iaitu majlis takziah kematian atau majlis perkahwinan, maka utamakanlah majlis
kematian, kerana ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan
menghadiri majlis perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada keseronokan
duniawi sahaja.
11 – Wahai anakku, janganlah kamu terus menelan apa sahaja
yang kamu rasa manis janganlah terus meludah sahaja apa yang kamu rasa pahit,
kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu
menimbulkan kelemahan.
12 – Wahai anakku, janganlah kamu makan sampai kenyang yang
berlebihan, kerana sesungguhnya adalah lebih baik jika bahagian dari yang
kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.
13 – Wahai anakku, janganlah kamu menjadi lebih lemah dari
seekor ayam jantan, kerana ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan
kamu pada waktu itu masih terbaring di atas katilmu.
14 – Wahai anakku, jangan kamu melantik seseorang yang bodoh
menjadi utusanmu. Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka
sebaiknya dirimu sendirilah yang menjadi utusan.
15 – Wahai anakku, orang yang bersedia untuk mendengar
nasihat dan bimbingan dari orang yang lebih alim, maka dia layak untuk mendapat
penjagaan dari Allah tetapi bagi orang yang insaf setelah menerima teguran maka
dia lebih layak untuk mendapat kemuliaan dari Allah.
16 – Wahai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah
diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia
akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada
Allah.
17 – Wahai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air
mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya
akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah,
memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi
pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
18 – Wahai anakku, kamu telah merasakan betapa beratnya
mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada
semua itu, adalah bilamana kamu mempunyai jiran yang jahat.
19 – Wahai anakku, jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu
mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta
itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
20 – Wahai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila mana
kamu selalu mencari ilmu tetapi kamu tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak
ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu
memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
21 – Wahai anakku, jadikanlah dirimu dalam segala
tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap
sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela
pada dirimu.
22 – Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu
sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau
tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan
menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau
peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau
makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan
orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
23 – Wahai anakku, apabila kamu menghampiri kediaman sesuatu
kaum, ucaplah salam. Kemudian duduklah ditempat yang telah disediakan oleh
mereka. Jangan mulakan perbualan sehingga mereka mulakannya. Sekiranya mereka
suka berzikir maka sertailah mereka, jika sebaliknya maka jauhilah mereka dan
sertailah kelompok lain.
24 – Wahai anakku, bertakwalah kepada Allah, orang lain
tidak akan tahu engkau takut kepada Allah s.w.t hanya untuk dihormati,
sedangkan hatimu menyimpang daripada kebenaran.
25 – Wahai anakku, janganlah engkau terlalu menyayangi orang
jahil kerana dia akan menganggap kamu bersetuju dengan perbuatannya. Janganlah
engkau menghina sesuatu yang dibenci oleh orang bijaksana kerana dia akan terus
meninggalkanmu.
26 – Wahai anakku, ketahuilah bahawa kekuasaan berada pada
mulut orang-orang yang bijaksana. Mereka tidak berkata-kata melainkan dengan
apa yang dikurniakan Allah s.w.t
27 – Wahai anakku, janganlah engkau menyesal kerana berdiam
sahaja. Sesungguhnya percakapan itu berharga perak, sedangkan berdiam diri
berharga emas.
28 – Wahai anakku, hindarilah dirimu daripada kejahatan,
nescaya ia akan menjauhimu. Sesungguhnya kejahatan itu untuk sejahat-jahat
makhluk.
29 – Wahai anakku, pilihlah majlis-majlis yang mengingati
Allah, sertailah mereka, sekiranya engkau seorang yang berilmu engkau dapat
memanfaatkan ilmumu. Sekiranya engkau seorang yang bodoh mereka akan
mengajarmu. Allah akan merahmatimu dan juga mereka. Wahai anakku janganlah
engkau menyertai majlis-majlis yang tidak mengingati Allah, sekiranya engkau
seorang yang berilmu, engkau tidak dapat memanfaatkannya. Sekiranya engkau
seorang yang bodoh, engkau akan bertambah bodoh. Allah akan murka kepadamu dan
kepada mereka.
30 – Wahai anakku, janganlah engkau makan makanan yang tidak
bersih. Bermesyuaratlah dalam urusanmu yang berbentuk ilmu.
31 – Wahai anakku, janganlah beriri hati dan tanding
menandingi kerana ia meluaskan medan pertumpahan darah orang yang beriman.
Pertumpahan darah dianggap oleh Allah sebagai pembunuhan, bukan kematian.
32 – Wahai anakku, sesungguhnya kebijaksaaan itu meletakkan
orang miskin pada taraf raja-raja.
33 – Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan
lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan
ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang.