MONOLOG
MERDEKA SEORANG SAYYIDAH
“Bangsa yang menjajah adalah bangsa yang kuat.
Lihat sahaja bagaimana Portugis mampu menjajah selama hampir 135 tahun di Tanah Melayu bermula dari 1511 hingga
1646” tutur Prof Edward Doughlas dalam kuliah sejarah dan peradaban. Nadanya
berbaur rasa bangga. Mungkin darahnya, darah waris penjajah. Aku hanya
mendengar secara saksama sambil menganalisis isi-isi syarahan Prof. Edward Doughlas.
“Negara-negara
penjajah ini biasanya menjadi negara maju kini, lihat contoh seperti di United
Kingdom, Amerika Syarikat dan Belanda”
“Kekuatan
ini terletak pada integriti keilmuan yang diamalkan mereka. ingatkah kamu pada
kebangkitan mereka semasa zaman kegelapan? Kemudian Zaman Renaissance menjelma
lantas memaknakan kehidupan mereka hingga ke hari ini” Prof Edward menyambung
lagi
Aku
menompang dagu. Ya, sedikit bersetuju dengan professor, namun aku kurang
bersetuju dengan kenyataannya bahawa bangsa yang menjajah adalah bangsa yang
kuat. Dudukku tidak tentu. Aku mencari posisi paling selesa. Mindaku ligat
menganalisis fakta. Bagiku kekuatan bukan perlu dipusatkan kepada pengaruh bala
tentera, namun lebih dari itu.
“Prof,
bagaimana pula dengan Bangsa yang mempunyai spiritual yang kuat, adakah kita
perlu menafikan kekuatan mereka. Bangsa penjajah punya kekuatan dari segi ilmu,
namun, agak ketinggalan dari segi spiritual?” aku menyoal professor. Ku susun
tuturku agar soalanku menjadi seumum mungkin. Aku mahukan jawapan dari insan
yang mewarisi darah penjajah yang mungkin pernah menjadi penjajah Tanah Melayu.
“terima
kasih Sayyidah” Prof Edward berhenti sejenak. Kemudian mengatur langkah ke
tempat duduk berhadapan sidang pelajarnya.
“ya,
percaya atau tidak, Prophet Muhammad merupakan seorang pemimpin paling berjaya
pada kurun in, 1400 tahun yang lampau..”
Aku
tersenyum. Selawat dan salam ku titipkan buat junjungan mulia Nabi Muhammad
SAW. Akhirnya dengan rasa rendah diri, Prof. Edward Doughlas mengakui bahawa
Nabi Muhammad SAW adalah Rasul terakhir.
Bahawa kerasulan Nabi Muhammad tidak diterima oleh golongan ahli kitab yang
tidak dapat menerima susur galur Rasul terakhir bukan dari kalangan bani
Israel.
Aku menemukan sesuatu yang menarik semasa berada dalam kuliah Prof.
Edward Doughlas. Mungkin sesuatu yang amat berguna buat bangsaku di Malaysia
kelak. Tanganku mencapai beg galas warna coklat gelap yang tergantung
dibelakang pintu. Seraya melabuhkan punggungku ke atas katil yang nyaman
bercadar nipis warna kuning air. Lantas aku mengeluarkan sebuah buku catatan
milikku yang berwarna hijau pucuk pisang yang berhias bunga tabur warna putih
dan merah jambu. Ia adalah pemberian dari ibu. Ah, tiba-tiba sahaja perasaan
rindu pada seluruh ahli keluarga mengasak sanubari. Lama sudah tidak mendengar
khabar mereka.
Aku menghela nafas. Perlahan-lahan
aku bangkit menuju meja tulisku. Halaman buku catatan ini kubuka. Lalu
menukilkan sesuatu. Bahawa ilham ini adalah anugerah Ilahi yang sangat
memaknakan hidupku…
Imbas kembali…
“Sayyidah!!!”
aku tersentak. Perasaanku terbebar. Aku menjadi takut. Jasadku terkesima,
menunggu butir seterusnya.
“Sayyidah
cacat, Sayyidah
cacat” ketawa nakal terburai di belakangku. Aku memang sudah mengagak butir sindiran yang
memusnahkan atmaku itu. Justeru ku buang pandangku ke lantai. Aku mengatur
langkah. Terhincut-hincut. Memang aku cacat, aku cacat fizikal. Tapi aku tidak
cacat akal, aku tidak miskin jiwa seperti kalian! Mataku berkaca-kaca. Aku cuba
menahan air mataku. sungguh, aku tak mampu. Tuhan, berikan aku kekuatan!
Kata ibu, meskipun aku dilahirkan
dengan kaki yang tempang, namun aku punya raut wajah yang manis dan punya jiwa
yang tabah. Aku tersenyum, tatkala memandang cermin di hadapanku. Terima kasih
ibu. Ibu lah semangatku untuk berada dalam sekolah yang dipenuhi orang-orang
yang iri dengan kecacatanku. Aku dimusuhi laksana aku seorang pencuri. Aku
tidak tahu apa puncanya. Hinakah menjadi seorang cacat seperti diriku? Sesungguhnya
di mana-mana sahaja aku melihat diskriminasi terhadap orang kurang upaya
sepertiku. Kadang-kadang disisihkan seolah-olah gelandangan tidak berguna. Golongan
seperti kami ini takut untuk didekati laksana kami haiwan yang menjijikkan
layaknya. Aku beristighfar. Merdekakah kita sebenarnya?
Sungguhpun begitu, semangat
mengalah tidak ada dalam kamus hidupku. Walaupun ada ketikanya aku hampir sahaja
mengaku mengalah dengan tekanan yang mengasak dada. Aku anak Melayu yang merdeka, punya minda yang
merdeka, punya hati yang merdeka. Aku tidak perlu takut untuk berhadapan dengan
hinaan. Sebaliknya aku perlu takut untuk menjadi manusia paling tidak berguna!
Perlahan-lahan semangat yang berkecai tadi, ku kumpul kembali menjadi motivasi
terhebat buat jiwaku yang miskin disisi Allah.
Kadangkala aku keanehan apabila
mendapati bahawa bangsaku yang penuh rasa toleransi dan kaya dengan adab sopan
ini terkadang bersikap biadap. Walhal kita semua diberi pendidikan sempurna
berbanding zaman sebelum merdeka. Apakah kita mewarisi keangkuhan penjajah?
Atau mengingkari sunnah Rasulullah SAW yang menganjurkan berbuat baik sesama
manusia? Ah, inilah yang menjadi kekecewaan mantan Perdana Menteri Malaysia
yang keempat. Bahkan sehingga usia persaraan beliau, anjakan
paradigma dari mentaliti kelas ketiga ke kelas pertama masih belum dicapai.
Entah dimana silapnya.
NAMUN itu
cerita dahulu. Bahawa aku selalu mengingatkan diriku, kasihilah yang ada
dibumi ini, nescaya kalian akan dikasihi penghuni langit. Ya, pada awalnya
aku di hina dan dipandang remeh atas kekurangan fizikalku. Tuhan Maha Pengasih,
Maha Penyayang. Aku percaya kepada keadilan Allah. Syukur ku panjatkan pada Ilahi,
kerana masih memberikan kesempatan untukku menghirup udara abad ke-21 ini. Aku
merenung luar jendela Bandar Bristol, yang merupakan Bandar terbesar England
dan istimewa kerana dibina ditengah-tengah River Avon. Bunga-bunga tulip yang
ditanam di dalam pasu kecil benar-benar menyegarkan mata yang memandang. Bukti
keagungan ciptaan Allah swt. SubhanAllah. Maha
Suci Allah swt.
Aku
membayangkan kehidupan yang digambarkan Faizal Tehrani dalam karya historical
beliau. 1511. sememangnya aku mengagumi insan yang menghargai sejarah. Mungkin
kita perlu melupakan hal-hal yang menyedihkan di masa lampau, namun kita perlu
memandang ke zaman lalu, supaya tidak melakukan kesilapan yang sama. Sesungguhnya
orang mukmin tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama untuk kali kedua.
Mafhum hadis itu aku bisikkan perlahan-lahan kedalam sukmaku.
Dengan
tekad yang mendalam disertai rasa cinta terhadap tanah air tercinta, maka aku
pun memulakan langkah ke sini, ke benua Eropah yang pernah menjajah Tanah Melayu.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu dinegeri sendiri, lebih baik dinegeri
sendiri”. Betapa sesungguhnya aku menghargai kemerdekaan yang aku nikmati
selama hidupku.
Barangkali agak janggal, jika aku
mendaftar kursus kemanusiaan di Universiti of West England. Kerana
rata-rata pelajar Malaysia yang punya tujuan sama denganku adalah pelajar
jurusan akaun, perubatan dan sebagainya. Ah, aku tidak mempedulikan semua itu.
Kerana aku percaya bahawa ilmu Allah itu luas. Ilmu milikNYA berada di mana-mana dan ilmu dipinjamkan kepada manusia hanya dengan
keizinan Allah swt. Justeru, aku ingin sekali mengutip pengalaman berharga, dan
ilmu sepanjang keberadaanku disini, atau dimana-mana sahaja supaya aku bisa
pulang berkongsi wadah perjuangan ilmuku walaupun sedikit.
Imbas Kembali…
Bandaraya Shah Alam,
September 2004
Aku lebarkan
langkah menuju perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Mencari
bahan ilmiah untukku menulis. Pijar panahan mentari tengahari ini membahang
atas kepala. Bunyi motokar yang melagukan Bandar raya Shah Alam ini tidak
sedikit pun menghambat bernas minda yang mulai muncul dalam benakku. Yang aku
mahu cuma segera sampai dalam bangunan yang berhawa dingin penuh koleksi
buku-buku umum itu. Aku terhincut-hincut kerana kelajuan pergerakanku terbatas.
Namun ku gagahi jua langkah. Termengah-mengah. kadang-kadang ada mata-mata
manusia yang aneh melihat keberadaanku disini. Aku kegelian. Namun tawaku hanya
menggumam dalam hati. Apa, aku ini persis makhluk asingkah? Ku leretkan
senyuman buat mereka yang menyoroti keanehan langkah kakiku. Tidak senormal
mereka. Hanya sedikit yang memandang simpati, ada yang memandang sinis, bahkan
ada yang tidak mempedulikan keberadaanku. Ah, biarkan sahaja mereka.
“Sayyidah!!!”
laung satu suara. Langsung memecah situasi yang memugar perasaanku sebentar
tadi. Aku menoleh ke belakang . Suara itu milik Hayati. Gadis manis itu melambai
ke arahku dengan senyuman. Aku turut membalasnya .
“yati pun
mahu ke perpustakaan?”
Hayati
mengangguk. Gadis ini rakan baikku di sekolah. Selalu menemaniku. Namun hari
ini kebetulan kami terserempak untuk tujuan yang sama.
“Sayyidah
nak cari bahan untuk pertandingan cerpen anjuran Utusan itu ke?”
Hayati
menebakku. Aku ukir senyuman untuknya
“agak-agak
yati kenapa saya ke perpustakaan?”
“ada
temujanji dengan…?”
Ketawa
kami terburai. Kami menyusun langkah seiringan ke tempat yang dituju.
“Tahniah
Sayyidah” ucap Hafiz yang berdiri tidak jauh dariku dan Hayati.
“terima
kasih Hafiz”
Aku
gembira atas ucapan tahniah tersebut. Ya, memenangi tempat pertama dalam kategori
cerpen anjuran Utusan. Untuk diterima kita perlu jadi luar biasa dari orang
lain. Itulah resam manusia.
“Aku
kagum dengan semangat kau”
“walaupun
aku tempang? “ tidak tahu kenapa, aku menebak Hafiz.
“bukan
begitu..” Hafiz diserang rasa serba salah. Jarang Hafiz
bercakap denganku. Dia lebih senang untuk berdiam diri. Hayati
yang mendengar perbualan kami sedari awal lagi mengangkat pandang.
“kami
kagum dengan semangatmu untuk tanah air” celah Hayati. Aku memandang rakan
baikku ini dengan pandangan yang dalam
“kerana
aku sebahagian dari Malaysia” ringkas sahaja jawapanku.
“ya, kami
juga. Tapi kami tidak punya aspirasi kemerdekaan sepertimana diri seorang Sayyidah”
Hafiz menyambung kata-kata Hayati.
“aku
kira, negara bangsa yang berjaya adalah negara bangsa yang benar-benar
menghargai tanah airnya sendiri”
“Sayyidah,
engkau yang tempang ini, bolehkah menyumbang untuk negara?” alunan ketawa yang
membuak tiba-tiba mencelah perbualan. Hatiku bagai dihiris saat mendengar
soalan tersebut. Hayati dan Hafiz lantas memandang Zuraidah. Ah, Zuraidah
selalu sahaja mengenakanku. Nakal dan kadang kala tidak
menghormati perasaanku. Air mataku ingin tumpah. Aku menelan liur. Sakit dan
perit. Kolam mataku berair. Namun ku tahankan juga dari menangisi perbuatan Zuraidah.
“Zu,
seharusnya engkau bertanya begini, bolehkah orang yang sempurna seperti engkau
menyumbang untuk negara? Kalau budi dan akhlak
terbejat dengan gejala tidak bermoral, engkau tidak ubah seperti “anai-anai dalam kapal. ”
Hayati
cuba melindungi perasaanku. Aku elus lengan Hayati. Memintanya untuk bertenang.
“Hei, Yati,
jangan kerana mulut badan binasa!”
“Zu,
tidak ada yang salah dalam percakapan Yati. Engkau yang mulakan dulu. Nah, kami
pulangkan paku buah keras pada engkau, siapa makan cili dialah yang terasa
pedasnya” Hafiz mencelah. Menyokong aku dan Hayati.
Wajah
bengis Zuraidah berona merah. Mungkin menahan marah.
“engkau
orang semua, bodoh!!!” kami tidak terkejut dengan ekspresi kata-katanya. Memang
itulah zikir perkataan yang melantun dari bibir Zuraidah setiap hari.
Sejurus
ia duduk, dia menghamburkan kemarahan dengan kata-kata kesat. Gegendang
telingaku perit mendengar kata-kata kesat. Apa, tidak ada bahasa lain kah yang
lebih sopan? aku geleng kepala melihat telatah Zuraidah. Aku jadi teringat akan
kata-kata Saidina Abu Bakar jadilah seperti pohon yang berbuah lebat di tepi
jalan, meskipun dilempar orang dengan batu, namun tetap di balas dengan buah.
“aku
minta maaf Zu”
Zuraidah
buat tidak tahu. Aku menangis dalam hati!
………………………………………………………………………………………………
Matahari
cerah cemerlang di angkasara. Panasnya benar-benar memijarkan ubun-ubunku,
sekalipun aku berjilbab dengan sempurna. Kali ini panasnya lain benar. Bumi
malaysia yang beriklim tropika ini nampaknya sedang mengalami pemanasan global
seiring dengan pencapaian fizikal dan infrastruktur. Ah, inilah Sayyidah yang
cuai, selalu sahaja lupa membawa payung. Gumamku sendirian. Aku aturkan langkah
ke bawah lintasan jejantas yang menghubungkan dengan lebuh raya Kesas ke Kuala
Lumpur.
Aku
melunjurkan kaki yang lenguh kerana banyak bekerja. Kaki ini anugerah Allah
yang wajib kita syukuri kata ibu. Aku mengurut-ngurut peha dan betis yang tempang.
”prang!!”
Seraya aku
menoleh ke arah tin kosong yang ditendang ke arahku.
”Hei budak
cacat!”jerkah suara itu
Diam... Aku
mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan manusia dihadapanku ini. Manusia
yang tidak ada kewajaran dan kewarasan ku kira.
”Ya, Zuraidah?”
balasku cuba berlagak tenang dalam emosi yang parah!
”Heh, kau
malukan aku depan Hafiz kelmarin”
”Aku tak
rasa kau di malukan bahkan aku yang kau malukan” tuturku penuh hati-hati
berbaur tegas dalam nadaku.
Zuraidah
ketawa menyeringai. Bebola mata hitamnya tepat menumpu ke dasar wajahku. Orang yang
sedang marah ibarat api. Api tidak boleh dipadam dengan api, tetapi dengan
kesejukan air.
”Maaf Zuraidah,
kalau engkau mahu bercakap perkara penting denganku, silakan disini. Jika tidak
ada, aku minta diri dulu”
Aku bingkas
bangun.
bukk!!!
Ah! Tubuhku
terasa melayang. Aku jatuh tersembam dek kerana kesengajaan Zuraidah. Sengaja
menjulurkan kakinya dihadapan, agar aku menyembah bumi. Ketawanya sinis sekali.
Aku jadi benci kepada makhluk Tuhan yang satu ini. Astaghfirullah!
”Zu, apa
salah aku Zu?? Sampai hati engkau?” tersenggut-senggut aku menangis, menyusun
butir bicara. Aku kasihankan diriku yang dipandang hina. Apa salahku? Apa
dosaku pada Zuraidah sehingga dia sama sekali benci padaku? Pakaianku bertompok
warna tanah yang coklat kehitaman. Berdebu. Aku cuba untuk bangun. Namun
kudratku yang terhad ini menyukarkan aku untuk berdiri. Air mataku menitis
dengan laju lantaran kebencian dan dendam yang memusnahkan mahmudah dalam diri
Zuraidah.
”Zu! Apa
yang kau buat??”
Suara itu..aku
lihat Zuraidah tergamam, seraya memalingkan mukanya. Tubuh
langsing dan tinggi lampai itu bergerak laju meninggalkan aku. Aku yang
berusaha seluruh tenaga untuk bangkit dan berdiri. Air mata yang tumpah sejak
tadi aku seka dengan hujung lengan baju. Ah! Malunya aku, Allah sahaja yang
tahu!
”Sayyidah
tak apa-apa?” soalnya berbaur cemas dan penasaran. Pandanganku
jatuh ke lantai. Tak kuasa mengangkat pandang. Rona wajahku menjadi merah
menahan malu. Aku kenal dengan lelaki ini.
”tak..err..saya
tak apa-apa Hafiz, terima kasih”
”biar saya
hantar awak pulang” aku terkaku tatkala mendengar pelawaan lelaki di hadapanku
ini. Rasa malu, terharu dan hormat tiba-tiba menjadi satu. Kaki ku melangkah
berat, tidak mahu berjalan seiringan. air mata menitis satu persatu. Hafiz
memandangku dengan senyuman. Ku angkat pandang dengan mata nan merah.
”Sayyidah,
semangat merupakan pencetus dan kadangkala menjadi sindiran. Sindiran
bagi mereka yang lemah dan tidak tahu menghargai kehidupan mereka.” Hafiz,
menghela nafas. Tangannya dimasukkan ke dalam saku seluar.
”lalu,
bersemangatlah menahan cabaran, buktikan pada Zuraidah, bahawa anda tidak
selemah yang disangka” sambungnya lagi.
Bristol...
Oktober 2005
Ahh..,
kenangan lalu..aku dan Hafiz hanya berhubung melalui emel. Hafiz khabarnya akan
melanjutkan ijazah sarjana kejuruteraannya ke Liverpool. Entah apa beritanya
orang dari Malaysia. Rindu pada Hayati tiba-tiba menerpa sukma. Aku tersenyum.
Baru semalam Hayati mengirim SMS memberitahuku bahawa dirinya akan bertunang
dengan jejaka pilihan hati. Bertuah engkau Hayati, diri yang sempurna bakal
menjadi milik orang. Tahniah buatmu. Aku juga turut tumpang gembira. Ah Sayyidah,
bukankah engkau juga wajib bersyukur dengan pemberian Allah?
Sungguh kecacatan ini membuat aku lebih tabah.
Apatah lagi kaki kanan ku yang tempang ini berpijak di bumi orang. Membuatkan
aku lebih menghargai bumi sendiri. Bristol
menerimaku sebagai orang asing. Keberadaanku di sini sangat asing. Yang aku
kagumi tentang budaya orang-orang Eropah adalah hak-hak orang kurang upaya
dititik beratkan. Walaupun melayan orang asing sepertiku. Syukur ke hadrat
Allah yang memudahkan urusanku disini. Namun sayang sekali, majoriti mereka
adalah kafir bukan orang-orang yang beriman. Hanya 2% populasi penduduknya
Islam. Padaku, Islam juga agama yang merdeka. Islam memerdekakan pemikiran
konservatif untuk penganut atheisme dan juga polytheisme. Yang menyangka Tuhan
itu banyak dan ada yang menyangka Tuhan itu tidak ada. Teori big bang tentang
kejadian alam itulah yang lahir dari anutan purba yang menyangka Tuhan itu
tidak wujud. Manusia wujud kerana caturan alam. Lantas, kalau alam ini ada
caturannya, maka siapakah yang mengaturnya? Tentulah Allah Subhanahu Wataala.
Jawabku dengan keyakinan jiwa yang tiada berbelah baginya.
Pernah
sekali, jiranku, Mrs. Cameron menanyakan hal bertudung kepadaku.
”kenapa
muslim harus mengenakan tudung?”
Aku leretkan
senyuman untuk perempuan separuh abad itu.
”kerana kita
diberi pilihan Mrs Cameron.”
”pilihan?
Yang bagaimana?” mata birunya dihalakan ke wajahku. Wanita itu menagih jawapan
yang bijak dariku. Dengan dihiasi sebaris senyuman yang lembut, aku menjawab
dengan rasa rendah diri kepada Allah.
”begini
Mrs Cameron, hidup ini adalah pilihan. Tuhan telah memberikan kita
dua hal yang harus kita pilih. Yang baik atau buruk. Yang bagus atau tidak
bagus, yang pahala atau dosa. Malah Tuhan juga menyediakan syurga dan neraka. Anda
tentu tahu itu”
”Ya,
semestinya”
”Justeru,
apabila agama Islam memerintahkan untuk mengenakan tudung pada penganut
wanitanya, maka kami tidak banyak bertanya, bahkan terus melaksanakan perintah
dengan petunjuk dan bimbingan daripadaNYA. Bahawa, kami yakin tentu ada
kebaikan di sebalik semua itu”
“This is
fantastic, i’m pleased to listen more from you”
“saya
berikan analogi, Mrs Cameron mahu jadi pilot, lalu ada syarat-syarat khas.
Contohnya, kita perlu tinggi begini, tidak boleh rabun dan sebagainya. Jika Mrs
Cameron tidak memenuhi syarat-syarat khas tersebut, maka Mrs Cameron tak layak
untuk menjadi pilot. ya kan?”
Mrs. Cameron
mengerutkan dahinya. Mungkin sedang mencerap analogi yang aku berikan dan
menyimpulkan dengan isi perbincangan kami.
“semuanya
kerana kekuatan kepercayaan. saya memilih untuk syurga, menjadi baik, maka saya
perlu pilih aturan yang telah dituliskan untuk saya.”
Mrs
Cameron tertawa mendengarkan jawapanku. Seterusnya dia
mengangguk-angguk tanda setuju. Wanita itu jiranku di apartment Llodger
Trow,. Mrs. Cameron yang baik. Aku sukakan keramahannya dan sifat terbukanya.
Mereka sekeluarga memberikan layanan yang baik kepadaku dan isi rumah yang
lainnya.
Malam yang
dingin menyelimuti Bandar Bristol. Dengan suhu 14C˚, sejuknya masih terasa
meskipun aku sudah betah dengan dinginnya Bristol. Musim bunga yang rontok menggugah
jiwa ku yang tenang ini. Aku rindukan Malaysia! Rindukan segala-galanya tentang
Malaysia. Terutama keluargaku. Ibu.. Namun ada sesuatu yang menjadikan aku rasa
kehilangan. Entah..aku mahu menelefon ibu selepas ini..Nafasku hela. Perlahan-lahan
aku hirup udara musim semi yang nyaman. Namun hatiku ini tidak selalunya
girang. Aku menatap langit Bristol di ruang jendela. Sejuk aku rasakan. Aku
jadi teringat pada Hayati, Hayati yang manis dan cantik. Gadis yang baik hati
itu sesungguhnya sahabatku yang paling dipercayai.
”Yati, apa
erti sahabat padamu?” tanyaku padanya suatu hari di hadapan Tasik Shah Alam
berlatarkan Masjid Negeri berkubah biru, antara kubah terbesar di Asia Tenggara
ini. ”Khaleel Gibran, mantan pemimpin Pakistan pernah berkata begini; ”sahabat
ialah mereka yang sanggup menerimamu seadanya.” Aku
mengangguk tanda setuju.
”Benar Hayati..sahabatlah
manusia yang setia.”
Lalu,
bagaimana pula dengan Zuraidah? Aku tidak pernah tahu berita darinya lagi
selepas keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia diumumkan. Yang aku tahu, Zuraidah
tidak berpeluang mengambil keputusannya sendiri. Ya, krisis sosial yang
dihadapinya itulah yang membuatkannya terperangkap dalam masalah dadah.
Lantaran itu, Zuraidah dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak. Mungkin sahaja
kebencian dan sakit hati itu, menambah benteng egoku untuk tidak bertanya
apa-apa tentang Zuraidah. Aku senyum mengenang sikap sendiri. Aduhai diriku,
jadilah seperti cahaya yang menerangi tanpa pilih kasih. Kata-kata Dr. Agus
sungguh membuat aku berasa sinis dengan sikapku. Mataku terus dihala ke dada
langit yang dihiasi bintang-bintang bergemerlapan. Nasib sebuah negara
bergantung kepada akhlak pemimpinnya. Butir bicara Prof Edward Doughlas
tiba-tiba menerpa minda.
Tiba-tiba telefonku berbunyi. Segera
aku mencapainya. Pak Su ? ada apa agaknya?
”assalamualaikum
Sayyidah, sihat?”
”sihat
alhamdulillah, Pak Su apa khabar?”
”baik..err..Sayyidah..”
"ya,
paksu, ada apa-apa yang Pak Su mahu sampaikan?” aku bertanya. Hatiku berdebar
sebenarnya. Baru sahaja aku ingin menelefon ibu. Ayat Pak Su yang paling
terakhir itu terus sahaja membunuh semangatku. Gagang telefon terlepas, seperti
sahaja air mataku yang menurun laju. Murni dan Rafidah bergegas meluru ke
arahku. Fikiranku, senyumku di kekisi jendela hitam tadi sekelip mata hilang
dalam kesedihan yang nyata.
”Sayyidah?”
”kenapa Sayyidah?”
Sahabat-sahabatku
yang baik mengusap bahuku. Aku tidak kuasa menahan sedih
ini. Aku tidak kuasa menahan sebak di dada. Air mataku menderas laju. aku
memeluk Murni dengan iringan tangis dan sendu. Bahuku ikut terhinggut.
”ibu..”
”ibu Sayyidah
kenapa?”
”ibu dah
pergi menghadap Ilahi” antara dengar dan tidak, aku memberitahu kalian semua.
”Innalillahiwainnailaihi
raji’un”
Hanya
setengah tahun sahaja lagi, aku akan menamatkan pengajian, bakal graduan dari
University West of England. Mengapa masa tidak menunggu aku pulang dan mendakap
ibu? Namun Allah tak pernah menyalahi janjiNYA,
bahawa setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Tidak akan lewat sesaat tidak
akan cepat sesaat. Hayati dan Hafiz tak pernah putus memberi semangat.
Bagaimana sahaja aku bisa berdiri untuk memaknakan diri jika ibu, pendorongku
pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya? Maka murni
dan Rafidah tetap bersamaku sama-sama berjuang, sama-sama memberi semangat. Jangan
meratapi, itulah kemerdekaan dari sifat jahiliah yang dibawa Rasulullah
Sallallahualaihi Wasallam.
Hari ini, di
saat Malaysia merdeka dari dijajah, aku bungkam mengenang ibu di tengah-tengah
jambatan River Avon. Aku hiba mengenang betapa sayangnya aku pada ibu. Namun
betapa sayang lagi Allah kepadanya. Melihat airnya yang tenang, teringat akan
tenangnya wajah ibu. Akhirnya, aku menyusur langkah sepanjang pesisir muara
River Severn yang mengalir ke terusan Bristol. Air mataku
menitis..
”Sayyidah!”
Aku terhenti
sejenak. Bukankah itu? Hafiz?? Aku berpaling. Melihat susuknya
berlari dengan laju meluru ke arahku.
”Tuhan tak
pernah meninggalkan kita..” dia melafazkan ayat itu dengan
cungapan. Air mataku menitis laju. Aku diam seribu bahasa..dengan tanda tanya,
mengapa hari ini Hafiz muncul?
”takziah
atas pemergian ibu”
Aku hanya
mengangguk lemah. Air mata diseka dengan hujung baju panas. Aku senyum.
”doakan ibu,
dan doakan kekuatanku.”
”kerana itu,
aku datang..”
”bukankah
kemasukan ke Liverpool University sebulan lagi?”
”ya..aku
datang kerana ini..” dia menyuakan kotak kecil berbaldu merah. Hafiz membukanya
perlahan. Aku semakin tidak mengerti. Lalu Hafiz menyambung lagi kerana melihat
aku penasaran.
”Ibumu tahu
tentang hasratku sebelum Allah menjemputnya. Yang mana setelah melihatmu dalam
doa istikharahku, aku merdekakan fikiran untuk memilihmu, agar aku tidak
memilihmu kerana rupa & nafsu, bahkan kerana melihat hatimu. Izinkan aku
menikahimu” wajahku merona merah. River Severn saksi peristiwa keramat ini. Tidak berdaya menahan empangan air mata yang
memberat di tubir mata. Saat Allah mengambil sesuatu dariku, DIA telah
menyediakan sesuatu yang terbaik untuk hidupku.. Syukran Ya Allah..
Tamat..
No comments:
Post a Comment